Loading...
Saturday, March 30, 2013

Keamanan Dalam Keutuhan Politik dan Perpaduan Ummah

Keamanan Dalam Keutuhan Politik dan Perpaduan Ummah

Ditulis oleh Dr Mohd Saad bin Abdul Rahman.

Keamanan dalam skop politik ialah kesempurnaan kestabilan politik di dalam sesebuah masyarakat. Kestabilan politik merupakan perkara asas dalam mewujudkan masyarakat yang aman di dalam sesebuah negara disamping menyelamatkannya daripada unsur yang menggugat kesejahteraannya.

Kesetabilan politik bermaksud kesempurnaan kehidupan awam yang merujuk kepada prinsip-prinsip perlembagaan yang dapat menjamin kebebasan rakyat manikmati hak-hak asasi mereka yang diseliakan oleh sebuah jentera pemerintahan yang kuat dan berkesan. Kesetabilan politik tidak akan sempurna kecuali apabila tiap individu mengetahui apa yang menjadi tanggungjawabnya dan apa yang dituntut ke atasnya bagi kepentingan negaranya. Begitu juga dengan jentera pemerintahan, kesetabilan politik yang diharapkan tidak akan sempurna kecuali apabila kesemua mereka yang terlibat dalam jentera pemerintahan menyedari aspek-aspek kemasyarakatan di sebalik kewujudannya dan mengetahui kesemua tanggungjawab yang wajib mereka penuhi bagi memenuhi keperluan rakyat.

Justeru, jentera pemerintahan memikul tangungjawab berat bagi menjamin kehidupan yang aman, selesa, stabil dan makmur bagi setiap individu rakyatnya. Justeru, ia juga bertanggungjawab mewujudkan prasarana ekonomi yang sempurna dalam rangka memenuhi keperluan harian serta menjamin kelangsungannya. Adalah menjadi tangungjawab jentera pemerintah menjamin keselamatan rakyat sama ada yang berkaitan dengan diri mereka, harta benda mereka, keluar masuk mereka, aktiviti harian mereka serta keadilan dalam perlaksanaan undang-undang.

Kesedaran tentang tanggungjawab ini akan menjadi ilham kepada jentera pemerintah merancang pelbagai program dalam memaju dan meningkatkan kehidupan rakyat. Keadilan dalam menikmati kemewahan negara tidak akan tercapai tanpa perancangan rapi yang diatur dari masa ke semasa. Begitu juga keadilan dalam menghayati undang-undang, pasti akan lebih sempurna dengan adanya struktur kehakiman yang berkesan.

Keamanan dalam dimensi politik juga memerlukan penyatuan suara di dalam jentera pemerintahan, kejujuran dalam melaksanakan tanggungjawab, ketepatan dalam memilih pegawai, keadilan dalam mengagihkan tugas dan peluang, tiada suasana tindas menindas, salah guna kuasa atau kesempatan, tiada tuduh menuduh secara terbuka yang boleh mendedahkan maruah dan kredebiliti pemerintah di mata rakyat yang akan menyebabkannya menjadi lemah atau hilangnya kepercayaan mereka terhadapnya, tiada kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat tentang sesuatu isu, adanya ketegasan tindakan dalam menangani apa-apa kecelaruan yang berlaku sama ada pada peringkat individu, kaum dan agama.

Memerangi kesemua anasir yang boleh menjejaskan keamanan dan kestabilan masyarakat serta negara sudah menjadi tanggungjawab jentera pemerintah. Begitu juga dengan usaha-usaha ke arah mengukuhkan perpaduan rakyat serta menjaminkan kebajikan yang berterusan untuk mereka.

Justeru, sebarang perselisihan atau salah faham politik yang berlaku dan berlarutan di antara mereka yang berada di tampuk pemerintahan atau yang berwibawa harus diselesaikan secepat mungkin dengan penuh kejujuran dan ketegasan menerusi semangat musyawarah seperti yang dituntut menerusi ayat 38, surah Syura. Kegagalan pada peringkat musyawarah harus diikuti dengan peruntukan undang-undang yang ada agar kegawatan politik cepat diselesaikan dan terelak padahnya yang buruk kepada keamanan kehidupan rakyat dan masa depan negara.

Dalam hubungan ini, agama Islam melarang perbuatan merendah-rendah kedudukan seseorang, menjatuhkan air mukanya, menyangka buruk terhadapnya dan mengintip rahsianya. Begitu juga agama Islam melarang perbuatan umpat mengumpat sesama sendiri, berhasad dengki, benci membenci dan bermusuhan yang boleh menimbulkan kekeruhan dalam hubungan bermasyarakat dan bernegara. Kesemua larangan ini dapat kita saksikan di dalam ayat 11 dan 12 , surah al-Hujurat dan ia diikuti dengan Hadis baginda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: ...janganlah kamu berhasad dengki, benci menbenci dan bermusuh-musuhan sesama sendiri, jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara (riwayat al-Bukahri).

Dari sudut yang lain pula agama Islam melindungi pemerintah yang sah dengan melarang tindakan menentangnya yang dikenali sebagai Jenayah Penderhakaan (Jarimat al-Baghy) kerana ia boleh membawa kepada suasana tidak tenteram dalam sesebuah negara yang pada akhirnya akan membawa kepada ketegangan dan pembunuhan sesama sendiri. Keadaan ini akan melemahkan kedudukan politik negara berkenaan yang mungkin akan membawa kepada keruntuhannya. Justeru, agama Islam mewajibkan prinsip berdamai di antara kedua belah pihak yang bertelagah dengan adil (rujuk maksud ayat 9, surah al-Hujurat). Selain daripada itu al-Qur'an juga meletakkan ketaatan kepada pemerintah yang sah sesudah seseorang itu mentaati Allah dan RasulNya. Jika berlaku pertelagahan di antara pihak-pihak yang tertentu maka hendaklah mereka kembali kepada hukum Allah dan RasulNya sebagai jalan penyelesaian, iaitu menerusi cara musyawarah dengan jujur dan adil. Hal ini dapat kita saksikan di dalam suruhan Allah menerusi ayat ayat 38, surah Syura dan ayat 59, surah al-Nisa'.

Dengan itu, sewajarnya seseorang itu melindungi kelemahan dan keaiban rakannya daripada pengetahuan umum dan nasihatlah dia dengan ikhlas dan jujur berdasarkan kepada hehendak ayat 3, surah al-`Asr yang menghendaki kita sama-sama nasihat menasihati untuk melaksanakan kebenaran dan menghayati kesabaran dalam kehidupan seharian. Dengan itu akan lahirlah sebuah Negara Hadari yang memenuhi kehendak ayat 15, surah Saba' yang menyatakan wujudnya sebuah negara yang baik (aman dan makmur) di bawah lindungan Tuhan yang Maha Pengampun.

Sumber: http://www.ikim.gov.my/index.php/ms/berita-harian/7413-keamanan-dalam-keutuhan-politik-dan-perpaduan-ummah

0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP