Loading...
Thursday, April 11, 2013

Akujanji Untuk Membela Islam

....dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu hal tersebut dan mereka sedikit pun tidak mengubah janjinya, berbeza halnya dengan orang-orang munafik.

[Petikan dari  Tafsir  Jalalain bagi ayat 23 Surah Al-'Ahzab ~ 33:23}




Tafsir Jalalain

 ن{ من المؤمنين رجال صدقوا ما عاهدوا الله عليه } من الثبات مع النبي صلى الله عليه وسلم { فمنهم من قضى نحبه } مات أو قتل في سبيل الله { ومنهم من ينتظر } ذلك { وما بدَّلوا تبديلا} في العهد، وهم بخلاف حال المنافقي
(Di antara orang-orang Mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa-apa yang telah mereka janjikan kepada Allah) yaitu gigih bertahan bersama dengan Nabi saw. (maka di antara mereka ada yang gugur) mati atau terbunuh di jalan Allah (dan di antara mereka ada pula yang menunggu-nunggu) hal tersebut (dan mereka sedikit pun tidak mengubah) janjinya, berbeda halnya dengan orang-orang munafik.

Politik313 tertarik dengan Akujanji BN Kelantan yang akan melaksanakan pembangunan material dan pembangunan insan berpaksikan Islam. Namun yang menjadi persoalan adalah siapakah yang akan menerajui tampuk pemerintahan di Kelantan nanti. Sebenarnya BN Kelantan kekurangan calon yang layak untuk menerajui agenda Membela Islam dan menjaga hati rakyat.
Rakyat Kelantan tidak dapat tidak mengharapkan agenda Membela Islam itu digalas oleh DS Mustapa Mohamad sendiri. Tapi adakah DSMM rela melepaskan jawatan beliau di peringkat pusat?

Dr Awang Adek walaupun dilihat sebagai calon alternatif, namun rakyat Kelantan masih meragui kebolehan beliau untuk menjaga hati rakyat apatah lagi membawa agenda Membela Islam. Ini dapat dilihat dari segi sokongan rakyat dari kawasan Bachok terhadap beliau, masih tidak menyebelahi beliau. Dari segi aktiviti keIslaman pula, tidak nampak program besar berbentuk Islam yang beliau anjurkan. Tambahan kenyataan beliau suatu masa dahulu berkenaan judi bola, telah menimbulkan kontroversi dan perspektif negatif terhadap beliau dalam memahami Islam itu sendiri.

Sekiranya BN dapat menawan Kelantan, model Islam manakah yang akan dilaksanakan di Kelantan? Tema apakah yang akan digunakan? Kerana UMNO sendiri tidak mempunyai model Islam yang rapi di dalam organisasi tersebut. Melainkan BN terpaksa meminjam model-model dari harakah-harakah Islam yang pernah ada pengaruh seperti Al-Arqam, Tabligh, PAS dan juga ABIM. Tidak salah sekiranya BN mengorek rahsia keberkesanan dakwah Al-Arqam (sekarang dikenali Global Ikhwan) walaupun ianya telah diharamkan oleh kerajaan BN sendiri. ABIM dan Tabligh juga boleh membantu di dalam menjayakan agenda Membela Islam di Kelantan nanti. Atau setidak-tidaknya BN mengambil pendekatan mengambil apa aktiviti-aktiviti yang baik dari kerajaan PAS sekarang.

Sesuatu yang tidak harus ditinggalkan adalah peranan ulama dalam mendidik rakyat Kelantan ke jalan pulang dari hanyut tanpa didikan rohani semasa pemerintahan PAS. BN boleh mengharapkan ulama pondok atau ulama terkenal seperti Syeikh Nuruddin atau personaliti lain seperti Ustaz Don Daniyal dan lain-lain untuk mengadakan program Majlis Ilmu / Kuliah Mingguan di Dataran MPKB pada setiap minggu.

Rakyat Kelantan juga dahagakan hiburan-hiburan berunsur Islam, jadi menjadi tanggungjawab BN untuk menyediakan platform untuk anak-anak muda Kelantan mengembangkan bakat mereka dalam kesenian Islam. BN boleh bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan nasyid tempatan seperti Raihan, Al Maulid, Rabbani, Mawaddah dan Generasi Harapan untuk melatih generasi-generasi pelapis dari kalangan anak Kelantan. Mereka boleh juga mendapatkan kerjasama TV al-Hijrah untuk mengadakan program mega ala Jom Heboh. [Kita tidak boleh mengharapkan Jom Heboh TV3 kerana program mereka tidak Islamik, seperti yang mereka anjurkan Jom Heboh di Terengganu baru-baru ini. Tanpa segan silu pengacara perempuannya membuka aurat juga berseluar nampak bentuk badan tanpa menghormati prinsip rakyat Terengganu.]

Selain dari itu, pengajaran ilmu akidah hendaklah berteraskan prinsip ilmu dari Imam Abu Hassan Ashaari & Imam Maturidi, fiqh pula dari mazhab AsShafie dan pendidikan Ilmu tasauf dikembangkan dengan mengambil huraian Imam Ghazali. Program bacaan Yasin & tahlil pada malam Jumaat juga Maulidur Rasul hendaklah dijadikan program di masjid-masjid di Kelantan. Darul Quran & Darul Hadith boleh diwujudkan di bawah UMK.


Lain-lain keperluan pembangunan insan dan pembangunan boleh la difikirkan dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian masa dan tempat dengan mengadakan perbincangan dengan alim ulama dalam dan luar Kelantan dan rakan-rakan dalam BN sendiri. Dengan syarat kita mengambil perhatian dan mengutamakan prinsip-prinsip Islam mengikut pegangan AhlusSunnahl Wal Jamaah Wal Jamaah, kelestarian alam sekitar, pembangunan mampan dan peluang pekerjaan yang mencukupi serta kebajikan dan kesejahteraan rakyat jelata.

Harapan politik313 adalah negeri Kelantan dapat menjadi model kepada pentadbiran berpaksikan Al-Quran, Hadith, Ijma Ulama & Qias.

Moga usaha murni BN Kelantan untuk mengembalikan Kelantan ke dalam acuan Islam tanpa mengabaikan aspek-aspek pembangunan akan mendapat sokongan rakyat Kelantan sama ada yang bermastautin di Kelantan atau anak perantauan yang balik mengundi nanti. Aamiin.


Sekian. Wassalam


BN janji ubah landskap Kelantan paksikan Islam
Oleh:
Tarikh: April 11, 2013

KOTA BHARU - Barisan Nasional (BN) Kelantan berjanji untuk mengubah landskap negeri ini dengan pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju berpaksikan Islam.

Perkara itu dinyatakan dalam Manifesto atau Akujanji BN khas untuk Kelantan bertemakan 'Rakyat Dihati Janji Ditepati' yang dilancar Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed di Bangunan Umno di sini, hari ini.

BN juga mahu menampilkan imej Islam sebagai agama kemajuan, progresif dan berpaksikan kepada kejayaan dalam usaha membawa perubahan besar di Kelantan.

BN akan memperlihatkan Islam dari segi kemuliaan akidah bagi memastikan kemajuan dan kemakmuran umat Islam dan rakyat Kelantan menjadi kenyataan berdasarkan prinsip maqasid syariah.

"Inilah kewajipan kita, sebab kita akan berdiri di atas dua prinsip penting iaitu Islam dan kecemerlangan," kata Mustapa.

Menurut Akujanji BN Kelantan itu, BN akan melaksanakan pentadbiran negeri ini berteraskan Islam, mempromosikan prinsip kesederhanaan (wasatiyah) dalam semua pendekatan, meningkatkan peranan institusi masjid dan surau sebagai pusat
pendidikan seumur hidup.

BN juga berjanji untuk mengadakan program pembangunan ummah dan pembinaan insan secara tersusun dan bersepadu, memantapkan institusi pengajian al-Quran, menubuhkan pusat latihan perkaderan Islam dalam melahirkan para daei (pendakwah), imam dan pegawai masjid yang berwibawa, menaikkan pengecualian cukai untuk sumbangan ke atas pembinaan, membesarkan dan memulihara rumah-rumah ibadat.

Meneruskan peruntukan tanah untuk pembinaan rumah ibadat, menyediakan lebih banyak bantuan kewangan kepada institusi agama berdaftar dan rumah-rumah ibadat, mempromosikan kebajikan imam, pegawai masjid dan kenaikan gaji.

Selain itu, BN berjanji untuk meningkatkan kualiti sekolah agama rakyat dan membenarkan pelajarnya mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan infrastruktur pendidikan kerajaan, dan menyediakan bantuan kewangan kepada sekolah agama rakyat dan sekolah pondok.

Manifesto itu turut memuatkan tujuh janji Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memajukan Kelantan jika BN diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-13 ini.

Tujuh janji itu ialah pembinaan lebuh raya Kuala Krai-Kota Baharu, stadium baharu, perumahan rakyat sebanyak 3,000 unit, kampus bandar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang boleh memuatkan 5,000 penuntut, membina masjid yang menjadi ikon negeri dengan kos RM50 juta, mewujudkan sistem pengangkutan Rapid Kota Baharu, menyelesaikan masalah bekalan air dan memberi tanah kepada rakyat Kelantan yang layak.

Manifesto itu juga memuatkan tujuh janji Mustapa jika BN diberi mandat memerintah negeri ini, iaitu menjanjikan pentadbiran yang adil, urus tadbir yang telus, amanah dan bertanggungjawab, kerajaan BN akan mengutamakan anak-anak tempatan dalam pengagihan tanah.

Mengamal, menggalakkan serta menerapkan nilai-nilai murni sekali gus mengelakkan amalan fitnah, tuduhan, tomahan atau kata-kata kesat di kalangan masyarakat, kerajaan BN tidak akan menggondolkan tanah di Hulu Kelantan.

Menanamkan semangat patriotisme dan cintakan negara, menyediakan masa depan yang lebih baik untuk orang muda, dan BN akan mengotakan apa yang dijanjikan. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/mobile/politik/bn-janji-ubah-landskap-kelantan-paksikan-islam-1.148992


0 comments:

Post a Comment

 
Toggle Footer
TOP